Ahad, 21 Ogos 2011

CerRut 2: Cuti

CUTI.

cuti versi makwe pakwe

"Siap pun"

Mat Berahim senyum. Senyum tiga. Semua rasa gembira yang bermacam istillah menerjah hatinya kini. Dibaca permohonan yang dikarangnya sendiri. "Permohonan Cuti Sempena Hari Raya Aidilfitri".Semua butir butir maklumat telah ditulis. Semua protokol protokol penulisan permohonan telah diikut. Mat Berahim yakin permohonan cuti 3 hari sempena Aidilfitri akan dihantar ke bahagian sumber manusia Hotel Konon Konon.

Hari ini Mat Berahim berpakaian kemas. Berbaju kemeja bertali leher. Digayakan pula dengan seluar jeans yang agak lusuh. Memang. Memang itu bukan pakaian formal seorang technician hotel yang sentiasa berbaju tshirt ke tempat kerja, tapi apa salahnya Mat Berahim bergaya untuk hari penyampaian surat permohonan cuti. Tak salah bukan. Lagipun hari hari biasa Mat Berahim adalah staff paling selekeh sekali. Baju seluar yang lusuh. Seluar pun jarang jarang dibasuh. Koyak sana koyak sini. "Biar nampak old skoll sikit" bersahaja jawapan Mat Berahim bila ditanya mengenai seluar kusamnya itu.

"Ida nanti surat ni tolong bagi pada Mr Wong boleh? Aku nak cuti masa raya nanti." Mat Berahim mula bicara dan menyudah kata dengan senyum nipis. Terbit lesung pipit yang samar samar dipipi kirinya. Ida budak praktikal menyambut helaian permohonan cuti Mat Berahim dengan segan silu. Jelas kemerah merahan pipinya yang tidak diselaputi seinchi bedak sekali pun. Blushing kata orang putih. Mat Berahim berpaling meninggalkan ruang pejabat dengan bahan baru untuk kaum hawa perbualkan.

"Kau dah hantar borang cuti Mat" Ajib pecah kesunyian kerja dengan soalan.

"Dah. Kau dah?"

"Dah. Aku hantar sebelum puasa lagi dapat 3 hari. Sehari sebelum raya, hari raya pertama dengan kedua." Ajib bangga bercerita dengan Mat Berahim.

"Kau rasa aku boleh dapat tak? Tahun  lepas aku tak dapat cuti doh" Mat Berahim mengeluh. Nada hampa jelas kedengaran.

"Mesti dapat punya la. Kan Bala ada. Takkan la dia cuti jugak."

"Betul jugak tu Bala kan ada. Hahaha"

Mat Berahim lega. Dia teringat Bala, technician yang baru masuk 3 bulan lepas. Orangnya tegap hitam manis dan kelakar. Seingat Mat Berahim, Bala adalah orang India yang paling Melayu sekali dia pernah jumpa. Cakap Melayu tak ada pelat pelat. Kalau berbual orang akan ingat Bala India Muslim dari Pulau Pinang. Semua loghat Melayu boleh diajuk. Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan. Loghat utara sebelah mata Bala boleh ajuk. Memang tak heran kalau ramai makwe Bala sebelum sebelum ni perempuan Melayu. Memang tak heran.

Telefon bilik 2215 berdering. Panggilan untuk Mat Berahim mengadap Mr Wong. Mat Berahim seronok. Lincah dia berambus meninggalakan Ajib terkial kial service aircond bilik 2215 secara solo.

Mat Berahim ketuk pintu bilik Mr. Wong.

"Come in"

"Assalamualaikum. Eh err..Good Morning Mr Wong" Mat Berahim tepuk tepuk dahi. Lupa Mr Wong adalah Mr Wong.

"Good Morning. Hehe. Have a seat Mat" Mr Wong ketawa kecil dengan perangai Mat Berahim.

"Tadi you ada hantar permohonan cuti hari raya kan. Nah I sudah sign itu surat. Nanti you boleh cuti a hehe"

"Thank you Mr Wong, thank you" Mat Berahim keluar bilik Mr Wong. Gembira bukan main lagi.

Semua mata hawa yang memerhati tak dipedulikan. Dalam kepala dah terbayang wajah sanak saudara dan kampung halamannya. Dibaca surat itu untuk kesekian kalinya. Pelik. Mat Berahim pelik. Masuk balik bilik Mr Wong tanpa ketuk dan salam.

"Mr Wong betul ke surat ni?"

"Betullah you mintak cuti hari raya, I bagi la cuti hari raya meh"

"Tapi ini cuti hari raya ke tujuh, lapan dengan sembilan?" Mat Berahim makin menyirap.

"You Melayu raya sebulan kan? Ok la tu. Lagi pun Bala dengan Ajib sudah mintak cuti hari raya pertama dengan kedua. Siapa mau jaga hotel kalau you cuti? Bala mau raya dengan family bakal mertua dia.Dia kan sudah convert Islam kelmarin. You tak tau ka?" Mr Wong terang panjang lebar.

Mat Berahim menginggalkan bilik Mr Wong dengan mata berkaca. Dia meminjam komputer Ida dan mula menaip surat permohonan baru bertajuk "Permohonan Peletakan Jawatan". Dia cuba menahan marahnya pada Bala dan bersyukur atas kehadiran saudara baru dalam agamanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan